Sejarah



















Dalam tahun 1960, Allahyarham En. Wan Bakar Bin Wan Talib bersama dengan beberapa orang rakan taninya telah meneroka satu kawasan Tanah Kerajaan di Batu 9 Jalan Kuantan-Gambang untuk dijadikan sebuah Perkampungan Pertanian yang tersusun. Di antara rakan yang bersama pada peringkat awal merintis kawasan ini ialah Jaafar Deraman, Awang Lok Yu, Musa Ismail, Budi Haji Karim, Abdullah Awang (Pak Lah Mesin), Pak Tunggal Awang Kechik, Syed Dagang, Shamsudin Haji Sidek dan Tajurahim Nihat. Usaha membuka kampung ini dilakukan secara berperingkat dan mula disertai oleh ramai lagi rakan hingga menjangkau 100 orang. Bagi menyenangkan kerja menebas, menebang dan memerun, En. Wan Bakar yang bertindak sebagai ketua telah menetapkan seorang petani diberikan satu lot tanah seluas 2 ekar. Luas kawasan yang berjaya diusahakan seluas 200 ekar.

Selepas 3 bulan kawasan ini berjaya diteroka, En. Wan Bakar yang waktu itu tinggal di Batu 4 ½ Jalan Kuantan-Gambang telah berpindah masuk bersama 4 orang rakan iaitu Jaafar Deraman, Awang Lok Yu, Kario Karto dan Pak Leh. Enam bulan kemudian barulah diikuti oleh rakan-rakan yang lain.


Pada peringkat awal pendudukan, kumpulan petani ini telah menghadapi berbagai masalah dan rintangan. Di antaranya ialah tentangan dari beberapa penduduk yang tinggal di kawasan yang berhampiran dengan mendakwa kawasan tersebut telah dibuat permohonan oleh orang lain terlebih dulu dan diadukan ke Pejabat Daerah. Ekoran dari itu, Pejabat Daerah diwakili Penghulu Mukim Kuala Kuantan iaitu En. Yusof dan Pegawai (S.O) En. Baharuddin Haji Akil telah datang menemui En. Wan Bakar dan mengeluarkan larangan meneroka kawasan tersebut. Namun En. Wan Bakar dan kumpulannya tetap bertegas dengan pendirian dan terus mengusahakan kawasan ini.

Bagi tindakan lanjut, Pegawai Daerah pada ketika itu En. Ishak Tadim telah memanggil En.Wan Bakar ke pejabatnya. Amaran diberikan iaitu sekiranya kumpulan tersebut masih berdegil, Pejabat Daerah akan meminta pihak Polis menahan En.Wan Bakar serta rakan-rakannya. Namun kumpulan tersebut meneruskan usaha mereka dan bersetuju menghentikannya sekiranya Pejabat Daerah dapat menghentikan semua kegiatan membuka tanah secara haram di kawasan-kawasan lain yang berlaku sebelum ini di seluruh Negeri Pahang. Akhirnya En. Ishak Tadim telah membawa permasalahan ini kepada YAB. Dato’ Wan Abdul Aziz Bin Engku Haji Abdullah (Menteri Besar Pahang ke 6).

Beberapa bulan selepas itu, En. Wan Bakar telah dipanggil sekali lagi ke Pejabat Daerah dan dimaklumkan bahawa beliau dan rakan-rakan dikehendaki membuat permohonan TOL tanah yang telah diusahakan itu seluas 200 ekar secara setiap seorang diberikan 1 lot tanah seluas 2 ekar. Dengan pemakluman tersebut maka kawasan ini dibenarkan secara rasmi untuk dibangunkan sebagai sebuah Perkampungan yang berbentuk Dusun dan Tempat Tinggal.


Dalam tahun 1961, satu perjumpaan penduduk kampong telah diadakan di rumah Wan Bakar yang turut dihadiri Penghulu Mukim Kuala Kuantan iaitu En. Abd Malik Mohd Ali. Dua perkara penting telah diputuskan dalam perjumpaan khas tersebut.

1. Nama Kampung

Tiga nama telah dikemukakan iaitu Kampung Baru Sungai Belat, Kampung Jaya Permatang Gading dan Kampung Jaya Gading. Setelah dibahaskan secara terbuka maka “Kampung Jaya Gading” telah dipilih. JAYA GADING dipilih atas hujah perkataan ‘JAYA’ bererti berjaya membuka tanah dan ‘GADING’ mengambil sempena terdapatnya rumpun-rumpun buloh gading di kawasan ini, juga mengikut cerita orang-orang tua di kawasan ini pernah ada seekor gajah telah mati dan meninggalkan gadingnya di sini.

2. JKKK Kampung

Telah memutuskan untuk menubuhkan JKKK Kampung yang pertama. En. Wan Bakar B. Wan Talib telah dipilih sebagai Ketua Kampung, Tuan Haji Abd Hamid B. Haji Abd Latif (Senator) sebagai Setiausaha. Manakala Ahli Jawatankuasa ialah En. Jaafar B. Deraman, En. Awang B. Deraman (Awang Lok Yu), En. Abdullah B. Awang (Pak Lah Mesin), En. Md Nor B. Abd Hamid, En. Jusoh B. Kasim, En. Sani B. Tawasek , Tuan Sheikh Zakaria B. Sheikh Kecik, En. Tajurahim B. Nihat, En Sidek B. Bejoh dan En. Mohd Nordin B. Ismadi. Ketua Kampung dan Ahli Jawatankuasa JKKK ini kemudiannya telah diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Pahang pada tahun 1964.



Pada 21 Disember 1964 Kampung Jaya Gading telah dirasmikan oleh Tan Sri Haji Yahya B. Haji Mohd Seh (Menteri Besar Pahang ke 7). Selain itu, Balairaya telah dirasmikan oleh En. Abd Rahman Talib,Surau oleh Dato’ Haji Abd Aziz B. Haji Ahmad dan Padang Bola oleh En. Zainuddin B. Haji Ahmad.





PEMBUKAAN TANAH BARU



Pembukaan tanah di Kampung Jaya Gading berlanjutan hingga ke tahun 1969 dengan dianggarkan luas kawasan yang diteroka menjangkau hingga 1,500 ekar. Keluasan ini termasuk satu kawasan yang dinamakan Tanah Pinggir seluas 500 ekar (6 ekar lebih bagi 1 lot) yang ditanam dengan pokok Getah. Peserta asal Tanah Pinggir ini telah dipilih sendiri oleh En. Wan Bakar tanpa perlu ditemuduga dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan Pejabat Daerah. Anak-anak benih Getah dan baja disediakan oleh Pejabat Daerah manakala kerja penanaman pokok dijalankan secara gotong royong dibawah pengawasan Pegawai Luar Tanah Pinggir masa itu En. Alias Abd Ghani. Kini Kawasan tersebut dikenali dengam nama Mini Estate.

Penempatan awal penduduk di kampung Jaya Gading adalah 95% orang Melayu dan 5% orang Cina. Masyarakat Melayu terdiri dari Rakyat Negeri Pahang 60%, berasal dari Negeri Terengganu (paling ramai dari Daerah Besut) 25% dan dari Negeri Kelantan 15%. Manakala Masyarakat Cina datang dari Kawasan Kem Peninggalan Perang Dunia Kedua di Batu 9 Jalan Gambang-Kuantan (Penempatan Masyarakat Cina semasa zaman darurat tahun 50an). Mereka dipindahkan pada tahun 1965 kerana kawasan tersebut terlibat dengan Pembesaran Kem Batu 10 Kuantan. Seramai 75 keluarga berpindah masuk ke Kampung Jaya Gading dan diperuntukan tanah seluas 150 ekar.




Tiga punca pendapatan utama penduduk Kampung Jaya Gading ialah bertani, berniaga dan makan gaji. Pendapatan utama penduduk ialah dari hasil pertanian dengan menanam sayuran dan buah-buahan. Sebahagian besar petani memasarkan sendiri hasil pertanian mereka. Oleh itu pada tahun 1965 En. Wan Bakar telah mewujudkan sebuah Pekan Sehari di Kampung Jaya Gading bagi memudahkan para petani menjual hasil pertanian tempatan.
Pada tahun 1970 En. Wan Bakar mengasaskan pembinaan 30 unit gerai di Persimpangan Masuk ke Kampung Jaya Gading bagi kemudahan memasarkan hasil-hasil pertanian oleh penduduk kampong. Namun pada tahun 1973 phak berkuasa negeri telah mengarahkan gerai tersebut dirobohkan kerana dibina secara haram. Berkat perundingan En. Wan Bakar dengan YAB. Dato’ Haji Abd Aziz B. Haji Ahmad (Menteri Besar Pahang ke 8) kerja-kerja merobohkan gerai berkenaan telah ditangguhkan. Hasil dari beberapa perundingan maka dicadangkan satu tapak Bandar Baru perlu diadakan bagi menempatkan para peniaga ditempat yang lebih sesuai dan selesa.

Pada tahun 1979, Kerajaan Negeri Pahang telah membeli 2 lot tanah Kebun Getah seluas 38 ekar untuk dijadikan tapak Bandar Baru Jaya Gading. Pada dasarnya proses perkembangan Bandar Baru Jaya Gading adalah diilhamkan oleh En. Wan Bakar, diasaskan perancangannya oleh YAB Dato’ Haji Abd Rahim B. Abu Bakar (Menteri Besar Pahang ke 10). Kemudian usaha perancangan diteruskan oleh YAB Dato’ Haji Abd Rashid B. Haji Abd Rahman (Menteri Besar Pahang ke 11) dan pelaksanaan pembinaan oleh YAB. Dato’ Sri Haji Mohd Najib B. Tun Haji Abd Razak (Menteri Besar Pahang ke 12).

Pada tahun 1986, wujud Bandar Baru Jaya Gading yang asalnya hanya menempatkan beberapa deretan gerai sayur-sayuran, buah-buahan, warung makan dan kedai runcit di pinggir jalan. Kampung Jaya Gading telah berkembang dari kawasan hutan kepada Perkampungan Pertanian yang tersusun akhirnya melahirkan sebuah Bandar Baru sebagai merancakkan ekonomi dan Pusat Perkhidmatan kepada masyarakat setempat. Kini, Kampung Jaya Gading meliputi beberapa rangkaian iaitu Kampung Padang Jaya (dulu Padang Jepun), Taman Sri Gading dan Bandar Baru Jaya Gading.