Kampung Jaya Gading terletak di antara Gambang dengan Pusat Bandar Kuantan. Jarak untuk ke Pusat Bandar Kuantan ialah sejauh 16 km.
Kampung Jaya Gading disempadani Jalan Dua Hala (Dual Carriageway) Kuantan - Kuala Lumpur di sebelah utara, Kampung Seri Damai di sebelah timur, Sungai Belat di sebelah barat dan Mukim Penor di sebelah selatan. Luas keseluruhan kawasan kampong adalah lebih kurang 2,147 hektar (5,304 ekar).
Umumnya keadaan tanah di Kampung Jaya Gading adalah rendah dan landai. Di bahagian selatan berkeadaan tanah berair (paya gambut) manakala di sebelah timur dan barat tanah berpasir.
Terdapat 2 batang sungai yang mengalir dari barat ke timur merentasi di bahagian utara Kampung Jaya Gading iaitu Sungai Pelong dan Sungai Belat. Kedua-dua sungai ini bertemu dan membentuk sebuah kuala selepas mengalir melalui 2 buah jambatan konkrit di laluan masuk utama sebelum menempuhi kawasan Simpang 4.
Untuk masuk ke Kampung Jaya Gading adalah melalui Bandar Baru Jaya Gading di bahagian utara (Kem Batu 10). Manakala satu lagi jalan alternatif adalah melalui Kampung Seri Damai di bahagian timur (Taman TAS).